| Sejarah PSSCM Cawangan Perlis |
| Written by PSSCM Perlis |
|
SEJARAH PENUBUHAN Seni Silat Cekak Malaysia telah lahir di Negeri Perlis pada awal tahun 1992 atas usaha gigih beberapa orang ahli silat cekak yang terdiri dari Encik Ishak bin Awang yang telah mempelajari Seni Silat Cekak di Alor Setar Kedah, Encik Syed Lokman Hakim bin Syed Abdan dan Encik Ismadi.. Usaha-usaha mereka telah mendapat sokongan daripada beberapa individu yang telah lama bergiat aktif di dalam PSSCM seperti En. Abdullah Murad yang merupakan Penasihat PSSCM Cawangan Kedah, Encik Sabri Bin Jaafar , Tuan Haji Ghazali Bin Abd.Rahman dan Encik Mat Zin Bin Shafie. Mereka ini juga merupakan antara Tenaga Pengajar yang sentiasa berulang alik dari Kedah ke Perlis untuk mengembangkan Silat Cekak. Aktiviti awal Seni Silat Cekak Malaysia di bumi Perlis bermula dengan pengijazahan seramai 22 orang penuntut baru yang telah diadakan di Universiti Utara Malaysia Sintok ada 10 Feb 1992. Semua penuntut baru ini telah mempelajari Seni Silat Cekak di No 27, Lorong 1, Taman Ira 01000 Kangar Perlis dengan mendapat permit kebenaran dari pihak Polis Kangar. Daripada jumlah tersebut seramai 14 orang telah berjaya menamatkan pembelajaran Seni Silat Cekak. Antaranya ialah En. Idrus Mydin, Prof Madya Dr. Nazari Bakar, En Bakar Osman dan En Shahidan Desa. Mereka ini merupakan Pensyarah di Universiti Teknologi Mara Arau, Pegawai Kerajaan dan Kakitangan Pejabat Pos Kangar. Berlanjutan dengan itu, usaha-usaha untuk menubuhkan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Perlis (PSSCMCPs) telah dilakukan. Pada tanggal 17 Ogos 1993, PSSCMCPs telah ditubuhkan dengan rasminya melalui surat kebenaran PPM/P-246-71-19/(2) dari Pendaftar Pertubuhan Negeri Perlis. Encik Syed Lokman Hakim bin Syed Abdan telah dilantik sebulat suara sebagai Yang DiPertua Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Perlis yang pertama dan Encik Ishak bin Awang selaku Naib Yang DiPertua. Seni Silat Cekak Malaysia terus berkembang di bumi Perlis dengan pembukaan Kelas Latihan yang kedua di Pejabat Majlis Agama Islam Perlis yang mana seramai 24 orang kakitangan jabatan tersebut telah diijazahkan termasuk Timbalan Pengarah Majlis Agama Islam Perlis iaitu Ustaz Aminuddin. Daripada jumlah tersebut, seramai 14 orang telah berjaya mempelajari silat ini sehingga peringkat tamat. Sehingga kini, terdapat 3 tempat latihan yang dijalankan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Perlis iaitu di Rumah Cawangan di No 4A, Kampung Batas Liku, Jalan Besar Arau 02600 Arau Perlis, Universiti Teknologi Malaysia Arau dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Jumlah keseluruhan kelas-kelas latihan yang berjaya diwujudkan disetiap tempat adalah 10 buah bagi Kelas Latihan Cawangan, 17 buah Kelas di UiTM dan 6 buah Kelas di UniMAP. Di dalam memperkembangkan aktiviti Seni Silat Cekak di negeri Perlis, PSSCMCPs telah menganjurkan beberapa aktiviti disamping melibatkan diri dengan aktif di dalam aktiviti Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Negeri Perlis. Antara aktiviti yang dianjurkan adalah Sambutan Perayaan 41 tahun Silat Cekak serta Demontrasi Perdana, Demonstrasi Malam Merdeka, Pelancaran Program Rakan Muda Serta Festival Tahunan Seni Mempertahankan Diri anjuran Kementerian Belia Dan Sukan, Pameran Statik serta lain-lain aktiviti di peringkat Negeri Perlis dan Kebangsaan. |
SEJARAH






